Tun Mahathir disambut bagaikan wira



 ALOR SETAR -  Kepulangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Alor Setar, Kedah disambut meriah rakyat pelbagai kaum yang setia menanti ketibaan Ahli Parlimen Langkawi itu sejak 9.00 pagi.

Ini merupakan kali pertama Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kembali ke negeri Jelapang Padi, selepas dilantik sebagai perdana menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan Persekutuan, 10 Mei lalu.

Sebaik pesawat khas yang membawa pemimpin nombor satu negara itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 12.00 tengah hari, beliau disambut oleh beberapa Exco Kedah, antaranya, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Dr Ismail Salleh, Tan Kok Yew dan Zamri Yusuf.

Ratusan penyokong dan rakyat pula melaungkan ‘Hidup Tun’ sambil mengiringi beliau yang sentiasa ukirkan senyuman dan bersalaman dengan hadirin.

Sebahagian penyokong yang setia menanti di Kompleks Bunga Raya turut membawa sepanduk tertera ‘Selamat Datang Perdana Menteri ke Kedah’ dan ‘Tahniah Tun PM Malaysia ke-7’.

Mahathir meluangkan masa hampir 30 minit untuk beramah mesra dengan orang ramai yang turut tidak melepaskan peluang bergambar dengan beliau.

Mahathir dijadual menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah petang ini di Istana Anak Bukit.

Anak kelahiran Alor Setar ini mencipta sejarah apabila menjadi perdana menteri tertua di dunia setelah meletakkan jawatan pada 2003.

Khairul Ashraf Khalid, 33, dari Pokok Sena antara yang teruja menyambut kedatangan Mahathir, yang menyifatkan beliau banyak berjasa kepada Malaysia terutama setelah berjaya membina Malaysia baharu.

“Kami datang untuk sambut Mahathir dan bangga kerana beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7. Dengan berbesar hati, kami ucapkan terima kasih kepada Tun kerana berjaya memenangi PRU14, sekaligus selamatkan Malaysia,” katanya.

Lim Yung Sen, 31, dari Alor Setar ingin menyaksikan sendiri pemimpin berusia 92 tahun itu dan tidak mahu melepaskan peluang bertemu walaupun seketika untuk zahirkan sokongan.

“Kami rakyat Kedah bangga dengan beliau, kami yakin beliau mampu bawa perubahan dalam pelbagai bidang untuk Malaysia. Ucapan terima kasih kepada beliau yang sanggup kembali tadbir negara walaupun sudah berusia,” katanya.

0 Response to "Tun Mahathir disambut bagaikan wira"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==