IPOH: Kerajaan Perak memberikan kelainan kepada rakyat negeri itu untuk sambutan Aidilfitri tahun ini apabila memilih Movie Animation Park Studios (MAPS) sebagai lokasi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat negeri.
Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya memilih MAPS sebagai lokasi penganjuran bagi memberi peluang kepada rakyat merasai keseronokan di dalam taman tema berkenaan.
Katanya, pihaknya mensasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung hadir pada rumah terbuka berkenaan yang akan diadakan pada 1 Syawal bermula jam 3 hingga 6 petang.
"Orang ramai boleh datang untuk menikmati kemudahan secara percuma di dalam taman tema itu serta menikmati juadah raya termasuk persembahan artis dan badan kesenian yang dijemput.
"Tempat meletak kenderaan akan disediakan, jika tidak cukup kita akan menyediakannya di lokasi lain dan turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle untuk mengambil pengunjung," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Ahmad Faizal berkata, kos penganjuran rumah terbuka untuk tahun ini juga adalah lebih murah berbanding diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar seperti tahun sebelumnya.
"Saya fikir apalah salahnya rakyat merasai apa yang kita ada di MAPS, ramai tidak mampu dan masih belum dapat merasai nikmat keseronokan di dalam taman tema itu.
"Saya ingin menjadikan satu hari (hari raya pertama) sebagai hari paling menyeronokkan kepada rakyat dengan bersama-sama berkumpul dan menikmati keseronokan," katanya.


0 Response to "Rumah Terbuka Aidilfitri Perak di MAPS"
Posting Komentar