Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal bertanding jawatan presiden pada pemilihan Umno akan datang, manakala bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi jawatan timbalan presiden.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Zahid sudah menghantar borang pencalonannya semalam.
"Beliau akan bertanding jawatan Presiden dan menjadi individu pertama yang mengisi serta menghantar borang pencalonan di ibu pejabat Umno semalam," kata setiausaha akhbarnya Mejar Jeneral Datuk Fadzlette Othman Merican seperti dipetik.
Susulan perletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno 12 Mei lalu, Zahid yang kini memegang jawatan naib presiden dilantik menjalankan tugas-tugas presiden.
Mohamad Hasan pula antara nama yang sering disebut untuk bertanding jawatan utama parti itu, susulan kekalahan Umno pada PRU ke-14.
Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) dilaporkan mengumumkan akan bertanding jawatan itu dalam satu majlis di Seremban, hari ini.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Mohamad berkata mengambil keputusan itu ekoran permintaan ahli dan hala tuju parti selepas PRU.
"Saya akan menghantar pencalonan secara online pada petang ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno," katanya yang bertekad memberikan nafas baru kepada Umno dan kembali kepada asas penubuhannya.
Dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan pada pemilihan-pemilihan sebelumnya namun sejumlah pemimpin dan anggota parti mendesak amalan itu ditinggalkan ekoran kekalahan Umno.
Antara pemimpin yang menyuarakan perkara itu adalah Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin - yang akan bertanding jawatan naib presiden - dan Mohamad sendiri.


0 Response to "Laporan: Zahid sah bertanding presiden, Mohamad Hasan timbalan"
Posting Komentar