Dedah 1MDB: Rafizi terlepas hukuman penjara



PUTRAJAYA - [ DIKEMASKINI] Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli lega selepas rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara 18 bulan kerana mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dibenarkan Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim bersidang yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmadi Asnawi sebulat suara menggantikan hukuman itu kepada berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM10,000 dengan seorang penjamin.


“Kami bersetuju dengan hujah perayu dan mengetepikan hukuman penjara sebelum ini dan diganti dengan perintah ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi dalam hujahnya berkata, tindakan Rafizi adalah tidak bersifat kepentingan peribadi, malah ianya demi tanggungjawab terhadap negara.

“Pendedahan dokumen itu juga tidak membabitkan keselamatan atau rahsia negara,” katanya.

Menurutnya, Rafizi perlu diberi peluang oleh mahkamah.

“Dokumen itu tidak lagi diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia.

“Lembaga Tabung Angkatan Tentera telah menarik balik saman sivilnya yang dikemukakan terhadap Rafizi berhubung pendedahan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud selaku responden dalam hujahan balasnya berkata, hukuman 18 bulan penjara tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa memandangkan dokumen itu tidak lagi berada di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Memang berlaku kesalahan pada ketika itu, namun ia tidak mendatangkan sebarang musibah kepada negara. Justeru pihak kami tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan perayu,” katanya.

Pada 14 November 2016, Rafizi dihukum 18 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas selepas didapati bersalah memiliki dan mendedahkan tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.



0 Response to "Dedah 1MDB: Rafizi terlepas hukuman penjara"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==