BANGKOK – Seorang lelaki didakwa menjadi dalang kes pembunuhan kejam di Taman Pelangi Johor Bahru tahun lalu menyangka dengan menjadi sami Buddha dan dihidup seperti seorang alim dapat mengabui mata pihak berkuasa terhadap jenayah lampaunya.
Sejak bolos dari sempadan Malaysia tahun lalu, lelaki 36 tahun itu menjadi sami di sebuah kuil Buddha di wilayah Petchabun di utara tengah Thailand dan beberapa bulan kemudian menjadi pengikut agama itu di sebuah kuil di wilayah Chaiyaphum.
Seorang pegawai polis penyiasat Thai yang terlibat dalam operasi memberkas lelaki itu memberitahu bahawa lelaki itu menyangka kehidupan yang baharu itu dapat menyelamatkan dirinya daripada buruan pihak berkuasa.
Dia salah kerana tatu besar wajah “Jesus Kristus” di lengan kanan membongkar identiti dirinya kepada polis Thai, sungguhpun pada mulanya pihak polis tidak yakin mereka telah manangkap orang yang betul.
“Pada mulanya kami merasa ragu kerana lelaki itu kelihatannya kurus berbanding foto diberikan oleh polis Malaysia, namun apabila terpandang tatu besar wajah Jesus Kristus pada lengan kanannya, kami tahu telah menangkap orang yang betul,” katanya.
Identiti lelaki berusia 36 tahun terbongkar.
Pegawai itu yang enggan mendedahkan namanya berkata, lelaki itu kehilangan berat badan kerana mentaati ajaran agamanya yang hanya membenarkan beliau makan sekali sehari.
Lelaki rakyat Malaysia itu ditangkap bersama isterinya di rumah dalam kawasan kuil di wilayah Chaiyaphum, timur laut Thailand pada 7 pagi semalam, yang mengakhiri buruan oleh polis Thai dan Malaysia sejak beberapa bulan.
Lelaki itu didakwa sebagai dalang terhadap pembunuhan kejam seorang lelaki 44 tahun yang dikenali sebagai “Ah Chiu” yang ditikam dan digilis oleh sebuah kereta BMW bergerak di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Baharu.
Sejak kejadian itu, polis Malaysia menahan beberapa lelaki dan wanita serta menghadapkan ke mahkamah dua orang Jumaat lepas atas tuduhan membunuh.
Menurut pegawai itu, ketika ditahan lelaki berkenaan dan isterinya sedang sibuk membuat persiapan bagi sambutan “Visakha Bukha” atau hari Wesak.
Beliau berkata , lelaki itu yang mempunyai tatu lebih kecil di bahagian lain badannnya menjadi sami Buddha selama sebulan bermula Januari di kuil Petchabun, yang mempunyai cawangan di Johor Bahru.
Beliau berkata, kuil Petchabun juga menerima ramai penganut agama Buddha dari Malaysia.
Kemudian lelaki itu berpindah ke wilayah Chaiyaphum yang terletak kira-kira 260 km ke timur laut Bangkok di mana dia tinggal di kuil sebagai penganut ajaran Buddha yang taat, katanya, sambil menambah lelaki itu juga menderma wang yang banyak kepada kuil.
Pegawai itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah yang didermakan oleh lelaki itu kepada kuil.
Sementara itu , Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand, Maj Jen Surachet Hakpal dalam sidang media di ibu pejabat polis Diraja Thai berkata, lelaki itu boleh diekstradisi ke Malaysia bagi menghadapi tindakan undang-undang apabila selesai proses perundangan di sini.
Beliau berkata, penangkapan lelaki dikehendaki itu merupakan bukti hubungan rapat antara polis Thailand dan Malaysia dan berharap kerjasama itu akan bertambah erat pada masa hadapan.
Beliau berkata, isteri lelaki itu akan menghadapi tuduhan kerana tinggal di Thailand melebihi tempoh. - Bernama


0 Response to " Polis Thai berkas dalang pembunuhan kejam di JB"
Posting Komentar