KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Hakim Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar kes samannya untuk mencabar Laporan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar Tahun 1990-an.
Dr Mahathir memohon Azizah menarik diri daripada mendengar kes saman pemula difailkannya pada Disember tahun lalu berikutan hakim itu sebelum ini pernah menolak permohonannya mencabar pelantikan dua ahli suruhanjaya siasatan terbabit.
Melalui prosiding di kamar hakim hari ini, Azizah menolak permohonan Dr Mahathir supaya beliau menarik diri dengan alasan Dr Mahathir gagal menunjukkan kepada mahkamah terdapat bahaya sebenar beliau memberikan keputusan berat sebelah jika mendengar kes saman pemula berkenaan.
Azizah dalam penghakimannya, berkata ia kerana permohonan pernah diputuskan beliau sebelum ini adalah membabitkan komposisi ahli dalam suruhanjaya siasatan, manakala kes saman pemula difailkan Dr Mahathir adalah bagi mencabar penemuan dalam laporan suruhanjaya itu.
Beliau berkata, saman pemula itu dikemukakan dengan alasan suruhanjaya siasatan gagal memasukkan dalam laporannya keseluruhan nota prosiding termasuk keterangan lisan saksi, permohonan sama ada secara bertulis atau lisan serta hujahan semua pihak yang terbabit.
"Mengenai isu dibangkitkan peguam bahawa mahkamah ini membuat keputusan tidak memihak kepada plaintif dalam kes sebelum ini, keputusan itu berdasarkan prinsip perundangan di negara ini dan plaintif juga mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
"Mahkamah ini mengambil kira akan bahaya gagal menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya jika ia dengan sewenang-wenangnya membenarkan permohonan supaya hakim menarik diri," katanya.
Hakim Azizah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Prosiding hari ini dihadiri peguam Mohd Irzan Iswatt Mohd Nor mewakili Dr Mahathir, manakala Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak bagi pihak suruhanjaya siasatan dan Kerajaan Malaysia.
Dr Mahathir memfailkan saman pemula itu dengan menamakan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan ahli suruhanjaya, Datuk Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choon Boon, K.Pushpanathanan dan Datuk Dr Yusof Ismail.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bekas Menteri Kabinet dan Kerajaan Malaysia.
Dr Mahathir selaku plaintif memohon perisytiharan bahawa mana-mana 'Laporan Suruhanjaya Siasatan' yang ditubuhkan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 hanya sah jika mengandungi semua bahan ditampilkan pada keseluruhan prosiding termasuk semua pernyataan bertulis saksi.
Beliau juga memohon perisytiharan laporan suruhanjaya siasatan itu tidak sah atau tidak terpakai sama sekali kerana semua defendan gagal memasukkan keseluruhan nota prosiding berkaitan keterangan saksi sama ada transkripsi atau rakaman video dan semua hujahan pihak terbabit.


0 Response to "Permohonan Dr Mahathir tukar hakim ditolak"
Posting Komentar