KULAI: Konvoi sepasang suami isteri yang baru 11 hari berkahwin bagi menikmati makanan kegemaran, bertukar tragedi apabila si suami maut, manakala si isteri cedera dalam kemalangan di Kilometer 29.9 Lebuhraya Linkedua, Senai, hari ini.
Dua rakan Muhammad Safuan Sazali, 23, turut maut dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu.
Muhammad Safuan yang duduk di kerusi penumpang hadapan Honda Civic, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu, Muhammad Assel Habel Akbar, 21, yang tercampak keluar dari kenderaan turut meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu Perodua Bezza, Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, yang mengekori kereta terbabit turut disahkan meninggal dunia.
Isteri Muhammad Safuan, Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, bersama dua lagi penumpang, Nur Zaffira Zulkhairi, 25, dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24, dilaporkan cedera dan dirawat di Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, dekat sini.
Semua mangsa dikatakan berkonvoi dengan dua kenderaan dari rumah mereka di Kota Tinggi ke sebuah restoran di Ayer Hitam.
Ibu Muhammad Safuan, Rohani Abdullah, 47, tidak menyangka perangai pelik anak kedua daripada empat beradik itu yang sering tidur di biliknya sambil memeluk bantalnya menjadi petanda pemergiannya.
"Dia bukan jenis manja tetapi perangainya pelik sejak akhir-akhir ini apabila sering tidur di bilik saya dan memeluk bantal serta bantal golek yang sering saya gunakan," katanya.
Rohani berkata, dia menyedari perangai pelik anaknya itu selepas mendirikan rumah tangga 11 hari lalu.
"Dalam keluarga dia memang seorang pendiam dan sangat pendiam sejak mendirikan rumah tangga.
"Paling ketara apabila dia kerap termenung dan banyak memakai baju hitam dan putih sejak kebelakangan ini," katanya di temui di bilik mayat hospital terbabit di sini, hari ini.
Suri rumah itu berkata, dia juga sering bertanya kepada anaknya itu yang kerap tidur di katilnya di rumahnya di Taman Sejahtera, Kota Tinggi.
"Dia hanya diam selain sering meluangkan masa bersama adik-beradiknya sejak akhir-akhir ini," katanya.
Menurutnya, arwah adalah peniaga sate di pasar malam di daerah itu dan tinggal di rumah mentuanya di taman sama.
Rohani berkata, dia hanya mengetahui anaknya berkonvoi dengan rakan-rakan selepas anak bongsunya, Muhd Shahrizal, 19, memaklumkan Muhammad Safuan maut dalam kemalangan.
Sementara itu, Akbar Gouleman, 49, bapa kepada Muhammad Assel Habel Akhbar, 21, berkata kali terakhir dia berjumpa anaknya di rumah kakaknya di Kota Tinggi tengah hari semalam, untuk berbincang mengenai hasrat anaknya itu bertunang tidak lama lagi.
Katanya, anaknya sempat menghubunginya kira-kira jam 8 pagi tadi memberitahu mahu ke Ayer Hitam untuk makan tengah hari.


0 Response to "Pengantin baru antara korban"
Posting Komentar