KUALA LUMPUR: Penyanyi Tam Spider akur, fokusnya terhadap program realiti, Mentor Otai sedikit terganggu apabila terlalu teruja menimang cahaya mata perempuan selepas dikurniakan tiga cahaya mata lelaki.
Tam atau Rustam Mustafa, 45, berkata, dia tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap protegenya, AJ atau nama penuhnya, Kamarol Azril kerana perlu menyelesaikan pelbagai urusan bayi yang dilahirkan Khamis lalu itu.
Namun, katanya, dia tetap berusaha memantau mutu persembahan protegenya itu dan berharap segala urusan mereka menjelang konsert kemuncak pada malam ini dipermudahkan.
"Saya tidak dapat meluangkan banyak masa bersama kerana perlu menyelesaikan urusan di hospital. Lagipun, kami tidak mempunyai pembantu rumah, jadi keadaan agak kelam-kabut memandangkan isteri baru bersalin Khamis lalu.
"Saya perlu membahagikan tumpuan, namun keterujaan menyambut anak pastinya berbeza terutama apabila mendapat bayi perempuan pertama. Tetapi, saya cuba sebaik mungkin untuk membantu AJ memberikan persembahan terbaik.
"Alhamdulillah, saya mendapat rezeki besar apabila dikurniakan zuriat. Saya berharap rezeki itu akan berterusan buat protege. Sempat juga saya memberikan nasihat kepada AJ kerana dia kelihatan agak gugup apabila dimaklumkan akan berduet dengan Faradhiya," katanya.
Persaingan akhir Mentor Otai menyaksikan AJ bersaing dengan tiga peserta lain iaitu Alina yang juga protege Siti Sarah, Elvira (Misha Omar) dan Azee (Zarul Husin).
Dikendalikan Haziq Hussni dan Elly Mazlein, Mentor Otai disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam menerusi TV3, jam 10 malam ini.
Sementara itu, Tam yang sudah lama mengimpikan cahaya mata perempuan belum memberi nama kepada anaknya itu.
"Buat masa ini, saya belum menetapkan lagi nama anak, namun kami memanggilnya dengan nama Aminah sejak dalam kandungan. Anak yang lain juga seperti sudah melekat dengan nama panggilan itu.
"Mungkin nama itu agak klasik dan ringkas, tetapi saya menyukainya kerana ia mempunyai makna yang baik," kata Tam.
Tam dan Aida mendirikan rumah tangga pada 8 November 2009 dan dikurniakan dua anak lelaki Muhammad Afiq, 8, dan Muhammad Aqil, 5. Menerusi perkahwinan pertamanya, Tam dikurniakan anak lelaki, Muhd Aliff yang kini berusia 24 tahun.


0 Response to "Tam harap 'Aminah' bawa rezeki berganda"
Posting Komentar