KUALA LUMPUR: Jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah berharap Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dapat mempertimbangkan hasratnya untuk mendapatkan seorang penyerang utama pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) yang dibuka 14 Mei ini.
Azraai yang masih belum mengecapi sebarang kemenangan selepas dilantik sebagai jurulatih Negeri Sembilan, Februari lalu menjelaskan skuad berkenaan sangat memerlukan penyerang berkaliber untuk memulihkan prestasi buruk pasukannya yang kini menghuni kedudukan tercorot liga.
Jelasnya, beliau akan berbincang dengan PBNS mengenai perkara itu kerana menganggap sudah tiba masanya skuad berkenaan melakukan kebangkitan jika tidak mahu tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
"Saya rasa yang ketara sekali anda semua boleh nampak Negeri Sembilan bermain dengan seorang penyerang bertubuh kecil, malah dia lebih kepada penyerang sokongan (yang sesuai memakai jersi) nombor 10.
"Kami perlukan pemain 'nombor 9', macam Selangor mereka ada Rufino (Segovia) dan Amri (Yahyah) yang memberi sokongan dari belakang, tapi kami tiada. Jadi, saya harap boleh dapatkan seorang penyerang utama pada jendela perpindahan nanti.
"Sekurang-kurangnya dapat memberi lebih sengat kepada pasukan. Nicolas (Velez) ada kemahiran dan kebolehan, tapi dia keseorangan, jadi kita perlukan seseorang untuk membantu dia," katanya.
Azraai berkata demikian pada sidang media selepas perlawanan ketujuh Liga Super berdepan Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi yang menyaksikan Negeri Sembilan tewas 1-2.
Ia adalah kekalahan kelima Negeri Sembilan musim ini selepas mengharungi tujuh perlawanan dan hanya mengumpul empat mata.
Selain itu, Azraai turut menjelaskan beliau masih belum memiliki nama pemain yang berada dalam radar Negeri Sembilan untuk diikat pada jendela perpindahan itu nanti.
"Kami akan tengok pada kesesuaian, mungkin dari ASEAN. Saya kena bincang dengan pengurusan dan buat masa sekarang kita perlu rancang pelan A dan pelan B.
"Itu keputusan yang akan saya buat. Kalau nak kekal dalam liga, kami kena dapatkan seorang penyerang yang boleh mengawal bola dengan baik dan melancarkan bahagian serangan. Bukan macam sekarang, hantar bola tapi hilang," katanya.


0 Response to "Azraai mahu pemain 'nombor 9'"
Posting Komentar