Pagi ambil keputusan SPM, petang meninggal dunia

Pagi ambil keputusan SPM, petang meninggal dunia


SABAK BERNAM - "Kami semua terkejut sebab arwah (Muhammad Adli) tiba-tiba rebah dan alami sesak nafas selepas tak sampai 10 minit main futsal," demikian kata, Muhd Aizal Ros Azelan, 18, rakan kepada Muhammad Adli Jalaludin, 18.

Muhammad Adli meninggal dunia di gelanggang futsal, di sebuah taman perumahan di Sungai Besar, di sini , kira-kira jam 5.40 petang, semalam.

Muhammad Aizal berkata, kesemua rakannya yang baharu mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pagi semalam, tidak menyangka arwah pergi buat selama-lamanya.

"Saya jangka dengan membawa dia ke hospital, segalanya selamat, namun, doktor mengesahkan arwah sudah tidak lagi bernyawa," katanya.

Muhd Aizal berkata, dia dan Allahyarham bersama rakan lain sempat meraikan kejayaan sempena keputusan SPM di Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ), di sini.

 "Pagi sebelum kejadian, saya lihat arwah sangat ceria. Malah, dia sempat mengusik rakan lain ketika mengambil keputusan peperiksaan.

"Arwah gembira sebab peroleh keputusan sederhana cemerlang dalam SPM, walaupun pada awalnya bimbang jika dia gagal dalam subjek matematik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakan arwah, Muhammad Azib Azman, 18, berkata, Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang mudah mesra dan periang, selain tidak lokek membantu rakan sekolah.

Katanya, arwah yang bekerja sementara di sebuah kedai makan di pekan ini pernah menyatakan hasrat ingin menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

0 Response to "Pagi ambil keputusan SPM, petang meninggal dunia"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==