Kenapa guna SPRM serang saya: Azmin


SHAH ALAM - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meluah­kan rasa terkilan dengan tindakan Umno yang mempergunakan Suruhan­jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerangnya dalam isu berkaitan tanah di Ijok, Kuala Selangor.

Azmin juga mendakwa kesal dengan tindakan Umno yang cuba mengugut peneroka selepas mereka bersetuju dengan penyelesaian yang dibuat oleh kerajaan negeri.

 “Mengapa guna SPRM untuk menyerang saya? Saya tahu ada pegawai SPRM di sini, ambil nota dan beritahu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

“Saya ingatkan Umno jangan cuba untuk ugut kerajaan negeri, saya bertekad akan tetap mempertahankan rakyat dan peneroka di kawasan tersebut,” katanya tegas ketika menjawab soalan tambahan oleh Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif ketika sesi penggulungan di Sidang Dewan Negeri, di sini semalam.

Pada masa sama, Adun Bukit Antarabangsa itu turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap pemimpin Umno yang gagal menyelesaikan isu itu selama 20 tahun meskipun menerajui kerajaan negeri pada ketika itu.

“Kita boleh berbeza politik dan berbeza pandangan namun terimalah hakikat bahawa seramai 980 peneroka, 300 yang bertemu saya di Stadium Kuala Selangor baru-baru ini ada yang sudah meninggal dunia.

“Selama 20 tahun menunggu bukan masa yang pendek, apa yang membuatkan saya sebak apabila sebahagian besar yang datang jumpa saya dalam keadaan berkerusi roda dan uzur bahkan ada yang menitiskan air mata,” katanya.

Mohamed Azmin turut menyelar sikap pemimpin Umno yang sanggup menolong syarikat terlibat daripada peneroka yang dibebani masalah itu selama 20 tahun.

“Ini politik apa? Selama 18 tahun di bawah Umno, isu ini gagal diselesaikan sebaliknya saya dapat selesaikan perkara itu dalam tempoh dua tahun sahaja sejak saya dilantik Menteri Besar.

“Bukan sahaja peneroka memperoleh wang tunai bahkan dapat rumah yang bernilai RM250,000 ribu walaupun harga semasa adalah RM450 ribu.

“Setiap peneroka terlibat juga mendapat pampasan keseluruhan berjumlah RM630,000,” katanya.

0 Response to "Kenapa guna SPRM serang saya: Azmin"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==