Budak mangsa nahas ditemui bawah jambatan

Budak mangsa nahas ditemui bawah jambatan



HULU TERENGGANU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui selamat di bawah jambatan selepas lebih sejam usaha mencari dijalankan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Berang.

Tengku Muhammad Ridhwan Tengku Rohaizak itu ditemui tanpa pakaian pada jarak kira-kira tujuh meter daripada kenderaan yang dinaikinya yang terjunam ke dalam gaung dalam kejadian di KM 391.8 LPTII, pagi tadi.

Nahas yang berlaku kira-kira jam 8.15 pagi  itu turut meragut nyawa bapa saudaranya 

Difahamkan, kenderaan jenis pacuan empat roda dinaiki kanak-kanak itu dalam perjalanan dari arah Ajil ke Bukit Besi bersama seorang lelaki dipercayai bapa saudaranya, Mohd Sobri Mohd,38, serta seorang wanita dipercayai ibunya, Rozita Mohd, 36.

Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu Mohd Sabri dikatakan terbabas  sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tujuh meter sehingga menyebabkan kesemua mereka tercampak antara tiga hingga lima meter daripada kenderaan.

 Lelaki dan wanita  yang alami kecederaan ditemui pasukan penyelamat berhampiran kenderaan sebelum segera dibantu untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu(HHT) bagi dapatkan rawatan, namun kelibat penumpang kanak-kanak tidak ditemui.

Rentetan daripada itu, usaha mencari dilakukan pasukan penyelamat sebelum akhirnya membuahkan hasil apabila kanak-kanak itu ditemui selamat namun tanpa berpakaian dan duduk dalam keadaan terpingga-pingga di bawah jambatan Sungai Padi.

Kanak-kanak berkenaan yang beralamat di Felda Kerteh 6 itu turut dibawa ke HHT untuk dapatkan rawatan dan difahamkan bapa saudaranya yang juga beralamat di Felda yang sama meninggal dunia di hospital.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, PBK II Mohd Salleh Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kemalangan itu jam 8.35 pagi.

"Menaiki sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota, kami bergegas ke lokasi. Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda berwarna hitam yang terjunam ke dalam gaung.

"Dua mangsa lelaki dan perempuan dilihat terbaring dalam jarak antara tiga hingga lima meter dari kenderaan. Pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia seterusnya turut terlibat dalam operasi mencari seorang lagi mangsa libatkan kanak-kanak lelaki.

"Kanak-kanak berkenaan berjaya ditemui salah seorang anggota bomba dan operasi tamat jam 10.28 pagi. Antara pihak turut terlibat ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta pihak LPT II," katanya.

0 Response to "Budak mangsa nahas ditemui bawah jambatan"

Posting Komentar

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==